KISAH ARNAB DENGAN KURA-KURA


ARNAB DAN KURA-KURA

Pada zaman dahulu, dipercayai semua binatang boleh bercakap sesama mereka. Pada suatu hari Sang Arnab sedang berjalan-jalan di padang. Hatinya begitu riang sekali. Semasa Sang Arnab berlari-lari sambil menyanyi, tiba-tiba Sang Arnab melihat Sang Kura-Kura sedang berjalan. Sang Arnab berhenti berlari, matanya sedang memerhati Sang Kura-Kura yang sedang berjalan amat perlahan. Terdetik timbul di hatinya untuk bertanya kepada Sang Kura-Kura.

Arnab : “Selamat pagi, Sang Kura-Kura!”.
Kura-Kura : “Selamat Pagi Sang Arnab”.
Arnab : “Hai Sang Kura-Kura. Kenapa engkau berjalan amat perlahan. Cubalah engkau berjalan laju sedikit. Kasihan aku melihat engkau berjalan sedemikian rupa”.
Kura-Kura : “Memanglah aku berjalan macam ini. Buat apa aku nak berjalan laju-laju pula.   Lagipun aku sedang menikmati pemandangan yang indah dan sejuk di sini”.
Arnab : “Agaknya kalau aku berlumba dengan engkau tentu aku yang akan menang” Kata Arnab dengan angkuhnya sambil ia melihat muka Sang Kura-Kura yang acuh tidak acuh dengan soalannya.
Kura-Kura : “Hmmm…tak semestinya Sang Arnab. Belum cuba belum tahu”. Kata Sang Kura-Kura yang juga tidak mahu mengalah”.
Arnab : “Eh, berlagaknya engkau ini. Bagamana kalau kita berlumba lari”.
Kura-Kura : “Tidak ada masalah Sang Arnab”.
Arnab : “Lihat pokok besar di hujung jalan sana. Siapa yang sampai dahulu ke pokok besar di hujung jalan itu, dialah yang menang”.
Kura-Kura : Ok ,“Saya setuju”.
Arnab : "Satu! Dua! Tiga!”.
Sang Arnab pun berlari sekuat hatinya. Sambil berlari dia ketawa sendirian kerana memikirkan kebodohan Sang Kura-Kura yang sanggup berlumba dengannya. Sambil berlari Sang Arnab pun memandang ke arah belakang. Kelihatan Sang Kura-Kura sedang berjalan dengan begitu perlahan. Sang Arnab pun berfikir sekiranya ia berehat sebentar tentu Sang Kura-Kura pun masih tidak dapat mengalahkannya. Maka Sang Arnab pun berhenti di sebatang pokok sambil berangan, jika ada hadiah tentu ramai kawan-kawannya memuji atas kehebatannya. Akhirnya, Sang Arnab tertidur dengan nyenyak sekali.
Sang Kura-Kura pula terus berjalan dan berjalan, sehinggalah Sang Kura-Kura terlihat Sang Arnab sedang tertidur sambil menyandar di sebatang pokok. Sang Kura-Kura berjalan dengan perlahan agar Sang Arnab tidak mendengar sebarang bunyi. Sang Kura-Kura terus berjalan dan berjalan. Tiba-tiba Sang Arnab terjaga dari tidur. Beliau menyangka Sang Kura-Kura masih lagi tinggal di belakang. Sang Arnab pun berlari sekuat hatinya untuk sampai ke pokok besar di hujung jalan itu. Sampai sahaja di pokok besar itu, Sang Arnab melihat Sang Kura-Kura telah pun sampai sambil berehat sementara menunggunya. Sang Arnab berasa sangat malu di atas kekalahannya dan juga kerana keangkuhannya terhadap Sang Kura-Kura.
Kura-Kura : “Hai Sang Arnab, kenapa engkau lambat sampai”.
Arnab : “Hai Sang Kura-Kura, aku minta maaf kerana kesombongan aku tadi. Sebenarnya aku tertidur untuk melepaskan penat. Aku ingat engkau lambat lagi”.
Kura-Kura : “Tidak apalah Sang Arnab. Aku harap kita masih berkawan. Lain kali jangan sangka kita yang terbaik kerana ada lagi tuhan jadikan yang terbaik”.
Arnab : “Baiklah Sang Kura-Kura”.
Sejak dari itu, Sang Arnab dan Sang Kura-Kura pun menjadi kawan karib.
Kesimpulan dari cerita ini menunjukkan bahawa usaha itu tangga kejayaan.Janganlah pernah mengaku kalah dan kita perlu sentiasa berusaha dengan lebih keras untuk mencapai kejayaan kerana usaha itu tangga kejayaan. Pada yang kuat pula janganlah sombong dan bongkak kerana Allah tidak suka orang yang bersikap demikian. Jumpa lagi dalam cerita yang lain pula. Insyaallah.... Assalamualaikum.. 



Comments

  1. wow. that so good story and can give us moral support. well done

    ReplyDelete
  2. wow. that so good story and can give us moral support. well done

    ReplyDelete

Post a Comment